Wednesday, February 13, 2013

bila2 masa


Bismillah walhamdulillah..


Perjalanan menuju Tuhan terkadang penuh dengan cabaran.
Mereka yang ikhlas sahaja mampu untuk bertahan.
Tapisan Allah SWT akan tetap berjalan tanpa mengenal insan.
Oleh itu, bersyukurlah andai masih dipilih untuk meneruskan perjuangan.

Wahai diri,
Sudah-sudahlah mengeluh dan mencari alasan.
Engkau sepatutnya bersyukur kerana masih mendapat rahmat Tuhan.
Tidak bimbangkah sekiranya satu hari nanti Allah timpakan balasan?
Agar kau sedar betapa indahnya hidup berTuhan.

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. [9:41]

Thursday, February 7, 2013

Ya Allah, aku telah menyampaikan..

bismillah walhamdulillah..

isu ini adalah isu yang telah lama berlalu
isu ini timbul pada dua tahun lalu
kata orang yang dah lama tu biarkan je lah
buat apa nak  bising2 lagi

tapi isu ini bukan isu biasa ya..
isu yang melibatkan urusan kita di hadapanNya kelak

untuk kamu yang sudi baca, silakan
aku berkongsi tentang kesungguhan seorang ulama
seorang mursyid yang sangat.. sangat.. sangat aku kagumi~



ISU NASIONALISME : JAWAPAN SAYA UNTUK TUN MAHATHIR

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. 

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. 
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. 

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? 

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. 

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. 

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? 

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? 
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? 

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. 

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.  

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. 

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.  

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

bersyukurlah

bismillah walhamdulillah..

hari ini, saat ini, aku sangat rindukan kata-kata semangat
kata-kata yang boleh sedarkan aku dan juga kamu
bahawa perjalanan perjuangan ini masih panjang

alhamdulillah
Dia benar-benar memahami
pada ketika aku layari laman FB
ada satu coretan kata-kata yang benar-benar menyedarkan aku
kata-kata yang aku rasakan sangat sesuai untuk kita
kata-kata daripada seorang ayah untuk anaknya =)

baca, baca, dan hayati
paling penting bacalah dengan mata hati ye... <3


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

Wahai anakku,
Bersyukurlah bilamana kamu dipilih oleh Allah berada dalam perjuangan bagi menegakkan agamaNya, sedang engkau bukanlah orang yang terbaik. Bersyukurlah kerana penggabungan ini. Lihatlah dikelilingmu, renungilah sahabat dan mereka yang bertungkus lumus siang malam bagi membantumu dalam perjuangan ini. Mereka sedia berkorban harta yang mereka miliki dari penat lelah seharian mencari rezki bagi memenangkan perjuangan ini.

Wahai anakku,
Janganlah engkau khianati perjuangan kerana engkau tidak akan selamat dari cercaan dan tohmahan manusia. kenanglah di saat mana seluruh orang- orang tuan menadah tangan setiap malam, merayu agar Allah memenangkan perjuangan ini. Engkau dirai bagai pengantin dan pahlawan. Mereka memandangmu dengan penuh kasih sayang, harapan dan keinginan agar engkau berjaya. Mereka sanggup memecahkan tabung bagi membantumu dikala kamu susah ketiadaan wang, ibu- ibu miskin sedia menanggalkan gelang bagi membantu perjuangan ini, sedang anak- anak muda sedia berjaga malam demi memenangkan perjuangan.,

Wahai anakku,
Aku ungkitkan semua ini kerana terkadang silauan dunia akan melupakan kamu dari hakikat hidup yang pernah kamu lalui. Bilamana bertukar kawan- kawan sekelilingmu dari orang kampung yang keras tapak tangan, berkematu dek kepayahan membanting tulang mencari sesuap nasi menanggung anak isteri dan perjuangan; mungkin kini engkau tidak lagi dilingkungi oleh mereka. Di saat engkau semakin kehilangan mereka dalam hidup dan masa depanmu, jangan sesekali kamu mengkhianati mereka.

Wahai anakku,
Perjuangan ini sangat panjang dan penuh dengan mehnah dan tribulasi. Aku sering menadah tangan berdoa agar Allah tidak menguji aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku hadapi. Aku sering memohon keampunan Tuhanku agar dia sedia mengampuni dosaku yang banyak ini, dan menegakkan kakiku dalam perjuangan. Kerana tiada satu jaminan istiqamah dalam perjuangan ini melainkan rahmat Allah.

Wahai anakku,
Bilamana aku menasihatimu, bukanlah kerana aku tidak yakin kepadamu. Tetapi aku sekadar mengigatkan kamu kepada apa yang boleh melekakan kamu. Tentulah kamu ingat akan hadis Rasulullah S.A.W, maksudnya " apabila Allah ingin membinasakan seekor semut, maka Dia akan menumbuhkan sayapnya". Semut sangat bangga memperolehi sayap, dia rasa hebat boleh terbang keluar dari busut yang melindunginya berbulan- bulan namun bilama ia terbang sahaja keluar, maka ia terdedah kepada kemusnahan dan kebinasaan.

Wahai anaku,
Bersahabatlah dengan orang miskin, engkau akan bersyukur. Bersamalah dalam majlis ilmu, engkau akan mendapat suluhan cahaya petunjuk, bergaullah dengan para abid, engkau akan terpelihara amalanmu, berkawanlah dengan orang yang soleh, kamu akan terkena kebaikannya. Doalah kebaikan sesaorang yang membencimu, nescaya kamu mengecewakan syaitan yang ingin merosakkan pergaulanmu.

Wahai anakku,
Lebih banyak engkau bersangka baik kepada sahabatmu, lebih tenang jiwamu, lebih ikhlas pergaulanmu, dan akan bertambah rahmat Allah ke atas kamu. Namun bilamana menebal kebencianmu, akan pudar cahaya uhkwahmu, akan terserlah keburukanmu, dan syaitan akan gembira dengan tindakanmu.

Senyumlah kerana Allah menciptamu dengan kasih sayangNya~


Friday, December 28, 2012

nasihat dia untuk kita

bismillah walhamdulillah..

apa yang ditulis kali ini adalah untuk mengingatkan diri aku dan kamu juga. mungkin dianggap biasa sebab dah terlalu banyak dibaca dengan mata.

tapi, kali ini, bacalah buat kesekian kalinya...

dan bacalah dengan mata hati~



NASIHAT DAN PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN


Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah dengan meniggalkan pelbagai keseronokkan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kahidupan Rasulullah s.a.w.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya, lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk mendekatkan diri kepada sunnah nabi kalian yang agung.
Wahai para pemuda,aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggungjawab.Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh-kesah.Aku menyeru kalian untuk menghadap Allah s.w.t dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian.Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Aku ingin kalian tidak tidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantinya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada Allah. Wahai anak-anakku aku amat berharap kalian tidak sibuk terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada Allah bahawa kalian mengambil peduli tentang agama dan nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda mendekati kalian.

Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan.Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar. Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakkallah kepada Allah.


Wednesday, October 3, 2012

sikap kita

bismillah walhamdulillah..

dah lama aku terbaca post di blog wardina
post yang sangat bermanfaat. (sumber)
post tentang kita
tentang pengurusan kehidupan muslim
persoalan yang ditimbulkan -----> sejauh mana kita cakna...?

cakna terhadap tanggungjawab memelihara BUMI~

sampah sarap yang terlalu banyak dan tidak terurus

kita sering kata kita ni islam a.k.a muslim
kita pun selalu jugak kata 'kebersihan sebahagian daripada iman'
bab kata kita hebat, kita pandai
tapi bila tiba bab pratikal
kita GAGAL..!

kenapa..?
sebab
kita tak kesah
kita kurang ambil berat
kita kurang kesedaran
walaupun perkara tu nampak macam biasa2 je
tapi sebenarnya itu lah lambang KUALITI IMAN kita..

macam mana?
tepuk dada tanya iman~

mula2 memang susah
tapi cubalah
kejayaan bermula dengan langkah pertama

aku pun tengah cuba
jujur.. kadang2 rasa malas tu memang ada
tapi bila fikir balik.. muhasabah & refleksi diri
bila lagi nak buat baik
mana tahu amal yang sikit ni lah buat kita boleh bau harumnya syurga
sapa tahu kan??

jom sahabat2..
kita bermula dengan sedikit
insyaAllah kita boleh
jangan lupa doa pada Dia supaya ditetapkan hati untuk terus istiqamah dalam kebaikan..

p/s: selamat mencuba & semoga berjaya...!

Monday, September 17, 2012

no title

bismillah walhamdulillah..
ramai kawan aku dah menikah. dan ada lagi sorang kawan aku yang bakal bernikah. baru2 ni aku terima jemputan dia. tapi aku tak pasti aku mampu memenuhi undangan tersebut atau tidak. namun, aku sentiasa doakan supaya dia bahagia. semoga rumah tangga yang dibina akan diserikan dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. barakallah kak~

aku kagum. alhamdulillah, dia telah selesai bermujahadah sebelum tiba alam perkahwinan. dan dia akan terus mujahadah ke fasa seterusnya. aku doakan dia

aku bagaimana? meniti hidup di usia remaja sangat mencabar. apatah lagi apabila menginjak awal belia. soal nikah kahwin semakin mendapat tempat dalam bicara. ya, aku juga begitu. fitrah. tertarik kepada berlainan jenis. tapi fitrah yang suci ini telah bertukar menjadi sesuatu yang keji. akibat dorongan nafsu yang sememangnya tidak dituntun dan di'paksa' mengenal Ilahi..!

hm.. sedikit emosi~

maaf.

gaya bicara macam aku ini sempurna. bukan! tidak sesekali! aku tidak sempurna. aku juga masih bertatih dalam perjalanan untuk menggapai redhaNya. tika ini aku masih sedar. aku masih peroleh rahmah dan hidayahNya. tapi seandainya suatu hari nanti, tiba giliran aku diuji. tiba giliran hati aku pula dibolak balik. & pada waktu itu, aku tidak pasti, apakah masih ada manusia, atau sahabat yang sanggup menegur aku untuk kembali ke jalanNya??!

jom sama2 muhasabah. ^_^

respon kita

bismillah walhamdulillah..

sekitar penerbitan filem yang menghina Rasulullah SAW.

aku ambil sumbernya dari sini.

ambil lah manfaat yang ada.

dan aku lebih suka dengan kata2 ini.

"apa pun faktanya, biarlah dia mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang dah dia lakukan."

(Gambar) Pendedahan Sulung Pengarah Filem Hina Nabi



Ini adalah gambar pertama lelaki dikatakan dalang di sebalik filem anti-Islam yang telah mencetuskan keganasan di seluruh Timur Tengah.Nakoula Basseley Nakoula juga dikenali sebagai Sam Bacile.

Lelaki yang disyaki oleh FBI sebagai pembuat filem bertanggungjawab terhadap filem Innocence Of Muslims yang mencemuh Nabi Muhammad.Salah seorang pelakon filem itu Anna Gurji mengatakan dia telah ditipu oleh pengarah berusia 55 tahun itu.Nakoula Basseley Nakoula di set filem dengan Cik Gurji yang berambut palsu warna merah.

akoula adalah Kristian Koptik kelahiran Mesir . Sekarang tinggal di California, beliau adalah seorang peniaga dadah yang disabitkan kesalahan dan yang terakhir dibebaskan dari penjara pada Jun tahun lepas.Filem ini telah menyebabkan tindakbalas anti-AS dari umat Islam seluruh dunia. Tujuh orang telah terbunuh, beribu-ribu cedera dan malam tadi rusuhan telah merebak ke Sydney, Australia.



Ia juga melaporkan bahawa Sudan telah menolak permintaan AS untuk menghantar Marin untuk melindungi kedutaan.Di California, Gurji yang berusia 21 tahun, yang melakonkan watak pengantin kanak-kanak yang dikahwinia Muhammad dalam filem tersebut meluahkan rasa kesal kerana dia telah 'dikhianati' oleh Nakoula. Dia juga melahirkan rasa takut akan tindak balas umat Islam ke atasanya'Saya melakonkan watak pengantin perempuan bongsu kepada watak yang bernama George, "katanya.

'Saya tidak tahu George akan ditukar kepada Muhammad. Saya mengunci diri di dalam rumah saya. Saya takut orang-orang di Timur Tengah akan menyalahkan saya.'Saya penganut katolik oleh itu mereka mungkin fikir saya menentang umat Islam. Saya mengambil pil tidur. Saya telah menangis selama beberapa hari. Saya rasa dikhianati. Muka saya terpapar dalam klip filem.

Apabila orang menonton filem buruk itu mereka akan melihat saya. 'Gurji berkata dia dan pelakon lai percaya mereka telah membuat sebuah filem aksi yang dipanggil Desert Warrior. Nakoula atau 'Sam' tidak pernah menyebut tentang agama.'Saya diberitahu saya adalah untuk menjadi Hilary, pengantin muda kepada watak yang dipanggil George, "katanya. 'Filem ini adalah tentang sebuah komet yang jatuh ke Bumi di Timur Tengah purba.  -sumber

Monday, July 30, 2012

sajak ratu syahadah


bismillah walhamdulillah.. ^_^

bukan aku yang reka.
bukan aku yang deklamasi. 
aku cuma sekadar berkongsi, nukilan hati sahabat baikku sendiri.
andai bermanfaat, ambillah.


RATU SYAHADAH

Tika bayu semilir menyapa diri
Ku melihat di sisi
Mawar putih kini kian hilang seri
Kerana al haya’ semakin rakus dikikis pergi

Lalu ku tundukkan wajahku
Mencari secebis kekuatan
Buat menjadi peneguh imanku
Di kala duri dunia semakin menekan.

Suatu ketika,
Allah ilhamkan padaku kisah seorang serikandi
Yang langkahnya sopan penuh tertib
Yang wajahnya halus cantik mempesona
Yang cintanya kudus mendamaikan jiwa
Itulah dia Asiah binti Muhazim

Lembut bukan simbolik kelemahan
Kerana di sebaliknya tersembunyi kekuatan
Ketika risikan sang sultan menjengah kamar hati
Diaju syarat demi iman yang disimpul mati

Dirimu bunga bukan bunga biasa,
Tetapi bunga istimewa kebanggaan agama
Cintamu bukan cinta biasa,
Tetapi cinta yang telah melunakkan hati Firaun untuk menerima
Agar Musa selamat di pangkuanmu hingga dewasa.

Duhai serikandi Asiah
Meskipun bersuamikan sang durjana
Namun setiamu tak digugat olehnya
Kerana islammu bukan hanya pada nama
Tapi terikat di lubuk hati tanpa tanda tanya

Duhai sahabat muslimah yang ku cintai
Kembalilah meraikan fitrahmu
Kembalilah mengangkat martabatmu
Ke puncak yang tertinggi

Doaku
Semoga Allah pertemukan kita lagi di syurga
Berbahagia bersama serikandi dunia
Abadi menjadi bidadari di sana.
Perkenankanlah ya Allah.

psstt : wardahmaqsurah.blogspot.com

adab ke sekolah

bismillah walhamdulillah =)

sedikit sahaja. apa yang aku ada. sbb dah tak tahu nak update apa lagi. anyway semoga bermanfaat~










Monday, May 7, 2012

fitnah cinta

bismillah walhamdulillah.

pesanan pertama ---> untuk kamu yang sudi membaca, maaf ya. saya kopi lagi. sebab pandangan saya sama. dan saya masih tak mampu lakarkannya di kanvas maya ni.
pesanan kedua ---> semoga bermanfaat untuk semua.

^_^

FITNAH CINTA UKHTI BARBIE DAN AKHI KEN


“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”
Demikian ungkapan yang dikongsi.
‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.
Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.
Berbaloikah untuk menjentik topik ini?
Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.
PASCA CINTA ANTA ANTI
Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.
Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.
Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.
Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!
Saya perlu suarakan hal ini. Saya bertanggungjawab menghasilkan tiga buah buku CINTA ke tengah masyarakat. Buku cinta saya ada yang terbit menjadi drama, ada yang diforumkan bersama Kang Abik peneraju fenomena Ayat-ayat Cinta. Buku cinta saya juga menjadi ceramah tajuk cinta yang entah berapa ratus kali semenjak 2008 dan kesemuanya saya simpulkan di dalam catatan terakhir siri ketiga ATN di bawah tajuk MURABBI CINTA.
Tujuannya adalah pada ‘menseriuskan’ topik CINTA.
Membasmi penangan novel-novel cinta yang mengheret pembaca ke dunia fantasi yang menjauhi realiti. Malah lebih membimbangkan, dek penerimaan yang meluas, ia membentuk pula realiti alternatif.
Perjuangan saya (mudah-mudahan diterima Allah) adalah pada membuktikan bahawa cinta merupakan terjemahan AQIDAH, PANDANGAN HIDUP dan SISTEM NILAI seseorang. Tiga komponen itu juga merupakan sisi manusia yang diserang oleh DAJJAL (Sayyid Qutb: Tafsir Surah al-Kahf di dalam Fi Dhilal al-Quran) Justeru proses menterjemahkan Aqidah kepada cinta dan rumahtangga, turut mengalami fitnah Dajjal.
ERA ANIMASI
Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.
Ia diilustrasikan.
Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.
Mata saya memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.
Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.
bp = tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 - VERSI ATAS TALIAN]
SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?
Saya tidak dapat menyetujui saranan pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif, bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F. Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar bedah yang terkenal!
Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.
Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.
“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An'aam 6: 151]
Selepas bertanggungjawab ‘menghantar’ hampir 100 ribu naskhah buku cinta ke tengah masyarakat Malaysia, saya tegaskan bahawa tiada isi kandungan buku saya yang menjurus ke arah ini.
Malah buku saya bukan buku cinta.
Ia adalah buku yang menggunakan cinta sebagai alat untuk mengubah kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai. Buku yang sepatutnya menyedarkan, bukan mengkhayalkan. Buku yang membantu pembaca berfikir, bukan membiuskan fikiran mereka.
KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR
Teringat saya kepada ujian yang menimpa Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka sudah menjadi FITNAH.
Demikianlah ujian cinta seorang pejuang yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.
Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.
Cinta yang membingungkan.
Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah PEٌCERAIAN.
Kes ini amat terpencil.
Namun dengan perceraian yang berlaku setiap 15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.
PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR
Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan gedik.
Saya bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.
Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.
Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran
Oh, alternatifnya?
Perlukah ada alternatif?
Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?
Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.
Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra